AGENDANASIONAL

Proton lancar laman web kereta terpakai

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan laman web kereta terpakainya, Proton Certified Pre-Owned (PCPO) untuk membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai stok semasa daripada 36 pengedar di seluruh negara dan tukar beli kenderaan untuk menerima tawaran hebat pembelian model baharu Proton.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata berikutan jumlah jualan yang meningkat pada 2019, ia jelas menunjukkan kecekapan pemprosesan tukar beli kereta pelanggan adalah kunci untuk mengekalkan kadar pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehubungan itu, Proton mewujudkan bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) untuk membina rangkaian pengedar yang berkebolehan menjual kereta terpakai bersama kereta baharu.

“Semua pengedar perlu memenuhi beberapa syarat dan bersetuju mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual.

“Antara syarat lain bagi kereta PCPO ialah tidak melebihi tujuh tahun dengan jarak tempuh tidak melebihi 130,000 kilometer semasa ditukar beli dan bebas kerosakan disebabkan banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta,” katanya.

Menurut Roslan, PCPO adalah langkah Proton yang selanjutnya untuk membina ekosistem yang menyeluruh.

“Selain terus menawarkan produk baharu dan ditambah baik, kami juga mahu menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan kaedah yang senang dan cepat untuk pelanggan menukar beli kereta,” katanya.

Beliau berkata semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun untuk bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

Roslan berkata laman web itu turut menawarkan jenama kereta lain yang ditukar beli melalui PCPO, namun, kenderaan itu tidak akan menerima jaminan tambahan daripada syarikat.

Bagaimanapun, ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sekiranya perlu sebelum dijual.

“Selain membantu meningkatkan jualan kereta baharu, bahagian UCM Proton ditubuhkan bertujuan menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur.

“Dengan menawarkan kereta terpakai yang berkualiti tinggi, kami berharap harga kereta terpakai Proton akan meningkat secara keseluruhan dan memudahkan pelanggan mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi apabila ingin membeli kereta baharu,” kata Roslan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://used-cars.proton.com

-BERNAMA


Pengarang :