Rusia mengumumkan pendaftaran vaksin Covid-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Sasaran 70 peratus suku pertama 2021, tumpu golongan dewasa

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sasaran 70 peratus rakyat Malaysia yang menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama 2021 tertumpu kepada golongan dewasa untuk negara mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, individu tidak menerima vaksin sukar mendapat jangkitan Covid-19.

“Akan ada mereka yang tidak akan dapat divaksin kerana kebanyakan vaksin Covid-19 yang dibangunkan ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, jadi mereka sudah pasti tidak dapat menerima vaksin yang pertama tahun depan.

Jadi ini mungkin peratusan yang tidak akan mendapat vaksin, kita akan tumpukan kepada dewasa untuk kita mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan memperoleh maklumat awal serta maklumat interim berkenaan keselamatan vaksin itu agar tidak ada rakyat Malaysia menjadi ‘tikus makmal’.

Katanya, kerajaan meneliti data klinikal disediakan oleh syarikat vaksin terutama syarikat yang memberi perolehan bagi vaksin itu.

“Saya jangkakan mengikut perancangan sekarang, suku tahun pertama tahun depan kita akan dapat perolehan (vaksin) yang pertama dan satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Menjawab celahan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) mengenai kriteria pemilihan negara dalam perolehan vaksin Covid-19, Khairy berkata kementerian sedang berbincang dengan syarikat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China untuk menentukan bilangan atau portfolio vaksin terbaik untuk Malaysia.

Beliau berkata sebelum kerajaan membuat perolehan vaksin, penelitian turut dibuat mengenai sama ada vaksin itu memberikan “sterilizing immunity” iaitu menghentikan jangkitan atau hanya bertindak menghentikan jangkitan daripada menjadi gejala yang serius.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menilai vaksin COVID-19 ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan pakar epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan disertai sembilan anggota lain dengan kepakaran seperti virologi, imunologi molekular dan penyakit berjangkit.

“Kita ambil pendekatan ini supaya penentuan bagi vaksin ini tidak dibuat oleh mana-mana kementerian tetapi mendapat rujukan kepakaran secara bebas.

Perkara ini kita akan perluaskan kepada pakar lain supaya apabila kita menentukan strategi vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19, kita akan mendapat pandangan daripada pelbagai pakar dan tidak terhad kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya bagi menjawab celahan Dr Dzulkefly Ahmad (PAKATAN-Kuala Selangor) yang bertanyakan keterlibatan pakar selain kementerian terlibat dalam perolehan vaksin itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :