Amirudin Shari menampal pelekat Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) pada motosikal penerima inisiatif dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

100 peserta RiDE terima bantuan subsidi lesen

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 100 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima subsidi lesen yang disampaikan Dato’ Menteri Besar di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka antara 1,980 penerima manfaat sejak inisiatif tersebut dilancarkan pada 1 Ogos.

“Inisiatif ini berupaya mencetuskan minat belia menceburi perniagaan berasaskan khidmat penghantaran, terutama sejak penularan Covid-19.

“Dengan pasaran ekonomi sampingan yang semakin mengembang, RiDE merupakan peluang khusus untuk anak muda Selangor meneroka bidang ini,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut membiaya kursus e-panggilan bernilai RM150 dengan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec), BungkusIt, Zepto Express, Warong Rider dan Foodpanda serta manfaat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Program tersebut diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM2 juta.


Pengarang :