Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor sedia RM35 bilion tingkat mutu bekalan

SHAH ALAM, 6 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membelanjakan kira-kira RM35 bilion dalam tempoh 30 tahun untuk meningkatkan kualiti bekalan air.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata jumlah perbelanjaan itu diguna bagi membaik pulih paip lama, loji rawatan air, tangki simpanan air serta membina loji baharu.

“Air Selangor adalah operator terbesar di Malaysia dengan membekalkan air terawat kepada 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Maka kita merancang terus meningkat kecekapan operasi dan pada masa sama memastikan bekalan air berkualiti serta mencukupi,” kata Suhaimi Kamaralzaman menerusi sebuah rancangan televisyen, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Air Selangor membekalkan air terawat sebanyak 5 juta liter sehari dan jumlah itu sama sekiranya digabungkan bekalan disalurkan Johor, Pulau Pinang, Terengganu serta Perak kepada pengguna.

“Pada masa sama tugas kami adalah mengambil air dari sungai dan tasik untuk dirawat di loji, sehingga kini terdapat 34 loji yang akan membekalkan air kepada pengguna menerusi paip dibina sepanjang 79,000 kilometer,” katanya.


Pengarang :