Grafik Sumber: Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Malaysia perlukan kerajaan telus, hala tuju jelas

SHAH ALAM, 5 DIS: Malaysia memerlukan kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan mempunyai hala tuju jelas untuk keluar daripada krisis kesan Covid-19.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan hari ini membawa agenda mengelirukan dan ketidakstabilan yang merencatkan usaha pemulihan ekonomi.

“Kita masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin Covid-19, dan kita juga belum pasti bagaimana kerajaan akan bangunkan semula tunjang ekonomi negara yakni perusahaan kecil dan sederhana yang rata-ratanya dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang terjejas teruk,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan media.

Presiden KEADILAN berkata wabak Covid-19 menunjukkan Malaysia sebagai sebahagian daripada masyarakat global saling berkait dan berhubung termasuk kesihatan awam dan perdagangan.

Katanya tidak terkecuali juga berkenaan keselamatan modal, pengemudian tatakelola jelas dan tegas serta kemampuan Malaysia menjadi destinasi pelaburan terbaik mencorak jalan keluar daripada wabak.

“Membandingkan Malaysia dengan negara prestasi jauh lebih rendah daripada kita tidak tepat dan mengelirukan. Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini antara kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan digesa untuk mendepani kebimbangan akibat penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) matawang asing jangka panjang Malaysia.

Katanya kenyataan balas menteri kewangan berkait semak turun penarafan IDR tersebut amat membimbangkan apabila gagal menjawab persoalan dan kebimbangan dilaporkan Fitch Ratings berkenaan kestabilan politik dan tatakelola.

Sebelum ini agensi penarafan antarabangsa itu menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.

Agensi itu dalam kenyataan media semalam berkata penurunan nilai IDR disebabkan Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Fitch Ratings berkata metrik hutang kerajaan merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Penarafan IDR ‘BBB+’ disebabkan jangkaan lebihan akaun semasa mengecil kepada 3.4 peratus dari KDNK tahun depan berbanding 4.2 peratus tahun ini ketika tekanan import Malaysia disebabkan Covid-19 semakin reda dan langkah perbelanjaan kerajaan ke atas pembangunan infrastruktur.


Pengarang :