Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 20 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu kekal empat digit, catat empat kematian

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini kekal empat digit iaitu 1,123 kes menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 71,359 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bilangan kes aktif kebolehjangkitan mencatat 10,775 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,143 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 60,204 kes.

Menurutnya dalam kenyataan, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula ialah 1,118 kes.

“Kawasan di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 490 kes (43.6 peratus). Sabah melaporkan jumlah kes harian tertinggi, iaitu sebanyak 391 kes atau 34.8 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan sebanyak 265 kes atau 23.6 peratus.

Beliau juga berkata terdapat empat kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 380 kes.

Selangor mencatat 221 kes diikuti Johor (66 kes), Pulau Pinang (44 kes), Perak (39 kes), Kelantan (35 kes), Kedah (30 kes), Negeri Sembilan (10 kes), Labuan (10 kes), Putrajaya (empat kes), Pahang (dua kes) dan Sarawak (satu kes).

Dr Noor Hisham berkata 40 kes (3.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (27 kes) dan Kluster Tembok sebanyak 13 kes.

Sementara itu, terdapat 130 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta saranan yang sering ditekankan kerajaan termasuk mengelakkan 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan amaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lebih berkonsep peringatan.

“Peringatan tersebut seperti elak bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin serta dapatkan rawatan segera jika bergejala,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :