Seorang anggota polis memasang poster kesihatan berhubung Covid-19 di stesen kereta api Tanyong Mat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand pada 11 Jun 2020 selepas perkhidmatan itu kembali beroperasi. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 382 kes baharu di Thailand, tiada rancangan luas sekatan

BANGKOK, 21 DIS: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk memperluaskan sekatan pergerakan selepas 382 kes baharu Covid-19 dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam lepas.

Daripada 382 kes baharu itu, 360 kes melibatkan pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon yang sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam dilaksanakan sehingga 3 Januari berikutan lonjakan kes Covid-19.

Prayuth berkata kerajaan akan memantau situasi itu selama seminggu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Keadaan adalah terkawal. Kluster baharu itu ekoran kemasukan pekerja asing secara haram. Kami berharap semuanya akan bertambah baik tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk merangka garis panduan untuk melaksanakan sekatan pergerakan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata 821 kes dilaporkan dengan kes indeks merupakan seorang penjual udang di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di barat daya Bangkok.

“Sejumlah 360 kes didapati di asrama pekerja migran. Lebih 90 peratus pesakit baharu adalah asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Lebih banyak kes yang disahkan dijangkakan berikutan proses pengesanan kes aktif Covid-19 dijalankan di wilayah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp berkata semua pekerja migran di Samut Sakhon akan menjalani kuarantin susulan kebanyakan kes yang disahkan adalah asimptomatik.

Beliau juga berkata pihak berkuasa meningkatkan usaha pengesanan kontak dan sejumlah 2,707 orang telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari lepas dan sedang menunggu keputusan.

Kementerian Kesihatan Awam berkata 40,000 orang akan menjalani ujian Covid-19 di Samut Sakhon dan wilayah berhampiran. Setakat ini, Thailand merekodkan 5,289 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

-BERNAMA


Pengarang :