AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jais: Akad nikah dibenar di masjid tiga daerah bebas PKPB

SHAH ALAM, 11 DIS: Upacara akad nikah di masjid dalam daerah yang bebas Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kebenaran itu membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor kecuali di mukim Kuala Selangor.

“Hanya lima pasangan boleh dinikahkan dalam sehari, upacara dibenar dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

“Jumlah kehadiran yang dibenar bagi setiap upacara akad nikah adalah 20 individu tidak termasuk penolong pendaftar perkahwinan dan dua saksi,” kata jabatan menerusi Facebook hari ini.

Tambah Jais, kehadiran individu dari zon merah ke majlis tersebut juga tidak dibenarkan.

“Selain itu, orang ramai tidak boleh meminda lokasi majlis akad nikah ke tiga daerah berkenaan sekiranya mereka berada dalam zon merah Selangor atau luar Selangor.

“Tetapi pasangan boleh meminda untuk bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kehadiran maksimum tiga individu sahaja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta wali,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, kerajaan mengumumkan PKPB di Selangor disambung sehingga 20 Disember ini kecuali tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.


Pengarang :