Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jangkitan Covid-19 di Selangor turun, catat 368 kes

SHAH ALAM, 17 DIS: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 368 kes berbanding 481 yang dicatatkan semalam menjadikan kesemuanya 22,931 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu merekodkan jangkitan tertinggi dalam negara hari ini diikuti Kuala Lumpur (297 kes) dan Sabah (184 kes).

“Sebanyak 94 kes daripada kluster sedia ada, 153 kes saringan kontak rapat kepada kes positif manakala 121 kes lagi melalui lain-lain saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan seramai 254 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan keseluruhan sembuh sebanyak 15,184.

Katanya, angka kematian kekal 35 orang dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 7,712.

Kes baharu Covid-19 hari ini sebanyak 1,220 hampir menyamai jumlah kes pulih dengan catatan 1,297 kes.


Pengarang :