Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari menyampaikan ucapan selepas beliau merasmikan lorong antidadah dan pejabat PEMADAM Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 8 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kolam ikan disyaki punca cemar air, bekalan pulih berperingkat

SHAH ALAM, 8 DIS: Limpahan air kolam ikan dipercayai punca pencemaran Sungai Selangor malam tadi sehingga loji rawatan air (LRA) dihenti tugas kira-kira empat jam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia dikesan menerusi sistem stesen statik yang berada tiga kilometer dari LRA Rantau Panjang pada jam 9 malam.

“Susulan itu kita menutup LRA itu pada jam 11.30 malam manakala LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1 pagi tadi. Semua LRA kembali beroperasi pada jam 3.30 hingga 5 pagi.

“Penutupan tidak lebih empat jam ini menyebabkan gangguan bukan berskala besar cuma tekanan air menjadi perlahan,” kata Dato’ Menteri Besar kepada pemberita selepas merasmikan Lorong Antidadah dan Pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor hari ini.

Amirudin berkata masalah tekanan air itu dijangka pulih sepenuhnya dan kembali normal petang ini.

“Setakat ini kita hanya kesan kolam ikan menjadi punca. Tindakan seterusnya akan dibuat PBT (pihak berkuasa tempatan) serta LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) mengikut enakmen baharu dipinda, yang mengenakan hukuman denda dan penjara,” katanya.

Pada 9 November, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Pengguna di tujuh wilayah terjejas akibat henti tugas LRA itu menerima semula bekalan air secara berperingkat-peringkat apabila bekalan distabilkan bermula jam 3 petang hari ini.

 

 


Pengarang :