AGENDA NASIONAL

Rakyat digalak kerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kerajaan sedang mempergiat usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam sektor pembinaan, pertanian dan perladangan bagi menggantikan tenaga kerja asing, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata sebagai usaha menggalakkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor berkenaan, kerajaan mengarahkan majikan untuk mengiklankan kekosongan di portal MYFutureJobs berkuat kuasa 1 Nov lepas.

Katanya, ia berikutan kekurangan tenaga kerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) telah pulang ke negara asal dan tidak kembali ke Malaysia kerana penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lepas.

“Pemegang PLKS bagi sektor pembinaan mencatatkan jumlah 406,369 orang pada Mac 2020 dan menurun kepada 337,426 orang pada November 2020.

“Pemegang PLKS bagi sektor pertanian dan perladangan mencatatkan jumlah seramai 143,348 orang pada Mac 2020 dan menurun kepada 111,140 orang pada November 2020,” katanya semasa menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh berhubung peningkatan peratusan pekerja tempatan dalam sektor pembinaan, pertanian dan perladangan di negara ini.

Awang berkata sebanyak 6,803 tenaga kerja tempatan telah mengisi kekosongan dalam sektor pembinaan manakala 2,143 orang dalam sektor pertanian dan perladangan sepanjang tempoh itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :