Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 401 kes Covid-19, turun banding semalam

SHAH ALAM, 19 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 401 jangkitan berbanding 692 yang dicatatkan semalam menjadikan kesemuanya 24,024 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu bagaimanapun merekodkan jangkitan tertinggi dalam negara hari ini diikuti wilayah persekutuan Kuala Lumpur (281) dan Sabah (199).

“Sebanyak 130 kes daripada kluster sedia ada, 119 kes saringan kontak rapat kepada kes positif manakala 126 kes lagi melalui lain-lain saringan Covid-19.

“Sebanyak 26 kes disumbangkan melalui kluster baharu iaitu kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan seramai 289 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan keseluruhan sembuh sebanyak 15,798.

Katanya, angka kematian kekal 35 orang dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 8,191.

Hari ini, sebanyak 1,153 kes baharu direkodkan di seluruh negara, dua daripadanya jangkitan import menjadikan keseluruhan 91,969.

 


Pengarang :