Pelancong asing menaiki beca untuk bersiar-siar di Pulau Pinang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempoh kelonggaran syarat kepada syarikat pengendali pelancongan dilanjut

PUTRAJAYA, 22 DIS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bersetuju untuk melanjutkan tempoh kelonggaran syarat yang diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Motac dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perlanjutan dari 1 Jan hingga 30 Jun 2021 itu adalah berkaitan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan yang telah berlesen dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan.

Kelonggaran dari segi keluasan premis dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan, sebelum ini diberikan dari 18 Mac hingga 31 Dis 2020.

Menurut Motac, kelonggaran berkaitan penyewaan premis perniagaan secara ‘co-share office space’ diberikan sehingga 30 Jun 2021.

Kenyataan itu menyebut bahawa kelonggaran itu dijangka memberi manfaat kepada 6,894 pengusaha pelancongan berlesen yang menjalankan perniagaan agensi pengembaraan dan perniagaan agensi pengembaraan.

“Kementerian ini berharap kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengusahaan pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :