Pengurus YaPEIM, Muhammad Fazli Suhailin ketika ditemui ketika menyampaikan bantuan di Pusat Dialisis Mais Seksyen 3, Shah Alam pada 4 Disember 2020. Foto Yide
AGENSISELANGOR

YaPEIM hulur sumbangan kepada pesakit, petugas Pusat Dialisis Mais

SHAH ALAM, 4 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menghulurkan bantuan makanan asas kepada 115 individu dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) dan petugas Pusat Dialisis Majlis Agama Islam (Mais) menerusi program Foodbank YaPEIM 2.0, hari ini.

Pengurus YaPEIM, Muhammad Fazli Suhailin berkata program dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkenaan bertujuan meringankan beban mereka yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Salah seorang penerima bantuan, Kamarudin Harun meluahkan rasa syukur di atas sumbangan diterimanya dalam program Foodbank Yapeim 2.0 ketika ditemui di Pusat Dialisis Mais Seksyen 3, Shah Alam pada 4 Disember 2020. Foto Yide

“Kami memberi bantuan berupa makanan kering dan satu kilogram daging segar kepada setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM16,000 ,”  katanya ketika ditemui di Pusat Dialisis Mais Seksyen 3 di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Kamarudin Harun,74, berharap usaha YaPEIM membantu golongan terjejas diteruskan pada masa depan.

“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya, inisiatif ini wajar diteruskan,” katanya yang sudah empat tahun mendapat rawatan di pusat dialisis Mais.

Seorang lagi penerima yang juga ketua jururawat di pusat dialisis Mais, Norazlinda Radzi berkata beliau menghargai sumbangan yang diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Terima kasih YaPEIM di atas sumbangan ini yang telah menampung keperluan seharian kami ketika mendepani cabaran bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.


Pengarang :