Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Anwar gesa kerajaan guna kaedah saringan Covid-19 berkumpulan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan digesa melaksanakan saringan besar-besaran serta kaedah pengesanan kontak lebih berkesan untuk mencegah Covid-19.

Ketua pembangkang berkata langkah tersebut antaranya melaksanakan kaedah ujian sampel secara kumpulan selain menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengesan kontak.

“Kementerian Kesihatan Malaysia mengatakan sedang mengkaji kaedah ini namun belum ada panduan mengenainya setakat ini. Negara lain sudah membuktikan ia lebih berkesan daripada hanya mengawal pergerakan.

“Justeru kerajaan perlu mengkaji serta memikir strategi berkesan untuk jangka panjang bagi mencegah penularan wabak,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan bersikap telus mengenai data Covid-19 selain menjelaskan titik punca sebenar penularan jangkitan khususnya melibatkan pekerja warga asing.

Kaedah ujian secara kumpulan membolehkan ujian Covid-19 dilakukan dalam jumlah yang banyak kerana semua sampel dicampur dan diuji sekali.

Sekiranya ujian negatif, kelompok sampel tersebut diasingkan manakala kelompok positif akan diuji secara individu atau menerusi kelompok lebih kecil.


Pengarang :