Keadaan banjir di Kampung Selisek, Hulu Selangor pada 3 Januari 2021. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Banjir di Hulu Selangor, 127 mangsa ditempatkan di tiga PPS

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 127 mangsa banjir di Hulu Selangor ditempatkan di tiga pusat penempatan sementara (PPS), kata pegawai daerahnya.

Musa Ramli berkata PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Selisik menempatkan 107 mangsa dari Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.

“Seramai 13 mangsa dari Kampung Alah Batu, Gedangsa pula ditempatkan di PPS balai raya kampung tersebut manakala PPS Kampung A, Hulu Bernam menempatkan tujuh mangsa dari Kampung Belakang Sekolah.

“Pasukan petugas terdiri polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terus memantau keadaan terkini dari semasa ke semasa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata mangsa banjir diingatkan sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP) di PPS bagi mencegah penularan Covid-19.

“Selain itu mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada pasukan petugas jika bergejala dan patuh kepada arahan yang diberikan,” katanya.

Semalam beberapa kampung di Hulu Selangor dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Sabtu yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.


Pengarang :