KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bayaran interim sehingga RM1,000 bagi kategori 2 i-Sinar – KWSP

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon kemudahan i-Sinar bagi Kategori 2 akan menerima pembayaran interim sehingga RM1,000 daripada jumlah yang dimohon mulai 26 Januari 2021.

Dalam kenyataan hari ini, dana persaraan itu menyatakan bahawa pembayaran itu bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ahli akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Ini juga bagi membantu ahli memenuhi keperluan asas sementara menunggu kelulusan proses permohonan mereka oleh pihak KWSP.

“Bagi mempercepat dan mempermudah pembayaran wang interim tersebut, KWSP hanya memerlukan ahli membuat pengisytiharan kendiri serta memuat naik dokumen sokongan di laman i-Sinar Online iaitu isinar.kwsp.gov.my.

“Proses ini diperlukan untuk melindungi simpanan ahli daripada sebarang penipuan atau aktiviti scam,” katanya.

Menurut KWSP, pembayaran interim bagi mereka yang sudah memuat naik dokumen sokongan, akan bermula dari 26 Januari 2021 manakala pembayaran untuk permohonan baharu yang masih belum memuatnaik dokumen sokongan yang relevan akan diproses dalam masa tujuh hari dari tarikh permohonan diterima.

“Setelah permohonan ahli disahkan dan diluluskan, KWSP akan meneruskan pembayaran jumlah seperti dimohon, setelah ditolak jumlah pembayaran interim tersebut.

“Sekiranya pengisytiharan kendiri didapati tidak benar atau tidak disokong oleh dokumen dimuat naik, KWSP berhak menghentikan pembayaran seterusnya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :