Laluan antara Persimpangan Sri Jaya hingga Persimpangan Gambang masih ditutup (kedua-dua arah) ekoran kenaikan air sedalam dua kaki pada 3 Januari 2021. Pengguna yang ingin ke Kuantan dan ke Kuala Lumpur dimohon untuk tangguhkan perjalanan buat sementara waktu. Foto: Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia
AGENDANASIONAL

Dua daerah terjejas banjir di Pahang, 65 mangsa dipindahkan

KUANTAN, 3 JAN: Seramai 65 penduduk daripada 19 keluarga dari dua daerah di Pahang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 9.30 pagi tadi, di daerah Maran, seramai 44 mangsa daripada 13 keluarga telah ditempatkan di PPS Balai Raya Jara, manakala 21 mangsa daripada enam keluarga dari daerah Rompin berlindung di PPS Balai Raya Bukit Lepas.

Portal berkenaan turut memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Lepar @ Jambatan Gelugor, Sungai Lipis, Raub dan Sungai Lembing, di sini manakala Sungai Lipis di Lipis melepasi tahap waspada.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Twitternya memaklumkan berlaku limpahan air di Kilometer 198 arah Timur dan Barat di laluan Gambang dan Sri Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan menyatakan limpahan air menyebabkan jalan berkenaan ditutup pada pukul 8.40 pagi ini.

Sementara itu, pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataannya menasihatkan pengguna lebuh raya dari Pantai Timur yang ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat cuti hujung tahun hari ini, untuk menangguhkan perjalanan mereka kerana laluan itu dinaiki air setinggi dua meter sepanjang satu kilometer.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang iaitu melibatkan daerah Pekan dan Rompin.

Selain itu, MetMalaysia turut meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.

– BERNAMA


Pengarang :