AGENDAJENAYAHNASIONAL

Pengasuh, dua anak ditahan disyaki dera kanak-kanak sehingga maut

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Polis menahan seorang pengasuh wanita dan dua anak lelakinya kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak berusia lima tahun sehingga maut di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.45 petang sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Polis menemukan kanak-kanak lengkap berpakaian itu dalam keadaan terbaring di atas katil dan sepasukan anggota paramedik yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian badan dan kaki mangsa, katanya.

Susulan itu, Beh berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 22 tahun hingga 61 tahun ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Ketiga-tiga suspek akan direman hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :