Najwan Halimi (kiri) bergambar bersama salah seorang murid sekolah sekitar DUN Kota Anggerik yang menerima sumbangan tablet baru-baru ini. Foto ihsan Najwan Halimi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang tablet kepada murid kurang mampu

SHAH ALAM, 31 JAN: Kira-kira 30 murid sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima sumbangan tablet untuk memudahkan pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata bantuan bernilai RM20,000 melalui peruntukan program Mesra Rakyat bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Najwan Halimi memaklumkan kriteria pemilihan murid dibuat dengan kerjasama sekolah untuk memastikan hanya yang layak menerima manfaat.

“Saya terima banyak rungutan daripada ibu bapa yang tidak mampu untuk membeli komputer atau tablet kepada anak mereka, justeru saya mengambil keputusan untuk menyumbang keperluan ini,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sebanyak tiga tablet sudah diagihkan kepada murid berkenaan setakat ini dan selebihnya akan diberi secara berperingkat.

Sementara itu, wakil penerima Siti Hajar Haderan, 30, berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri atas bantuan itu dan mengakui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agak mencabar.

“PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan dan bersabar bagi memastikan anak tidak tercicir terutama yang baharu memasuki alam persekolahan,” katanya.


Pengarang :