Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Subang Jaya tawar saringan serendah RM70 untuk pelajar

SHAH ALAM, 17 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menawarkan ujian saringan Covid-19 serendah RM70 kepada pelajar tingkatan lima yang akan menjalani pembelajaran secara bersemuka mulai 20 Januari ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata pihaknya maklum saringan hanya diwajibkan kepada pelajar bergejala namun tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Peluang ini dibuka kepada pelajar di sekolah SS12 hingga 19, USJ 1 hingga 22 serta PJS 7, 9 dan 11.

“Dengan kerjasama QHC Medical Centre, saringan akan menggunakan Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag),” kata Michelle Ng Mei Sze menerusi Twitter.

Menurutnya, mereka hanya perlu membawa surat tawaran atau kad pelajar untuk menjalani saringan dengan temujanji melalui panggilan telefon atau WhatsApp di nombor 012-9120536.

“Penuntut di enam institut pengajian tinggi (IPT) sekitar DUN iaitu Sunway University, Monash University Malaysia, Taylor’s University, Lakeside Campus, INTI International University & Colleges, SEGi College Subang Jaya dan Asia e University (AeU) Malaysia juga boleh memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan penuntut IPT dan pelajar sekolah tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memasuki asrama atau menduduki peperiksaan kecuali jika bergejala sahaja.


Pengarang :