Pekerja kedai cermin mata sedang menyusun kaca mata di rak ketika tinjauan di Pandan Jaya pada 16 Januari 2021. Setelah, kerajaan bersetuju membenarkan kedai cermin mata dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Malaysia dalam situasi genting tangani pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Malaysia berada dalam situasi genting dalam menangani pandemik Covid-19 pada beberapa minggu akan datang untuk mengurangkan kesan kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, penutupan aktiviti ekonomi sepenuhnya seharusnya menjadi pilihan terakhir, kata Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

“Penutupan aktiviti ekonomi akan memberi kesan kepada ekonomi kerana kecairan akan berkurangan di pasaran berikutan kekurangan urusniaga antara syarikat perniagaan dan orang ramai,” katanya dalam program “Midday Update” terbitan Bernama TV, hari ini.

Ahmed Razman berkata kerajaan harus menyeimbangkan antara aspek kesihatan dan pada masa yang sama memastika ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini.

“Saya berpendapatan masih ada ruang daripada segi kemampuan Kementerian Kesihatan untuk menangani peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peruntukan rangsangan fiskal secara berterusan untuk segmen bersasar akan membantu mengurangkan kesan kelembapan ekonomi akibat wabak pandemik Covid-19.

“Kami berharap pemulihan ekonomi berbentuk V (untuk tahun 2021) tetapi dengan kenaikan jumlah kes Covid-19 pada setiap hari, ia nampaknya kelihatan seperti pemulihan berbentuk U.

“Ini yang ingin harus elak. Kita tidak mahu pemulihan ekonomi berbentuk L,” katanya.

Ahmed Razman berkata wujud keperluan dalam menyokong sektor yang terkesan secara langsung akibat pandemik itu seperti industri penerbangan dengan menyediakan rangsangan fiskal tambahan.

“Kita perlu memastikan tiada lagi perniagaan menjadi muflis dan orang ramai kehilangan pekerjaan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :