Penduduk Kampung Galing, Noriah Kasim, 65, termenung menantikan hujan berhenti selepas rumahnya dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti selama dua hari ketika tinjauan pada 3 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Johor, Pahang terus meningkat tengah hari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan, dilaporkan semakin meningkat setakat tengah hari ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,248 mangsa daripada 1,628 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga yang direkodkan pagi tadi melibatkan tujuh daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,452 orang diikuti Kluang dengan 1,867 orang dan Kota Tinggi seramai 1,125 mangsa.

Beliau berkata pusat pemindahan yang dibuka kekal 56 buah dengan 19 di Kluang, Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (lima), Mersing dan Batu Pahat masing-masing dua serta satu di Pontian.

Setakat ini, 85 kampung, beberapa taman perumahan serta ladang kelapa sawit dan laluan kenderaan antara yang terjejas dan dinaiki air di tujuh daerah berkenaan.

Di sekitar Mersing dan Kota Tinggi, hujan didapati berterusan sejak semalam sehingga sekarang, manakala Johor Bahru dan Kluang, hujan renyai-renyai dan mendung.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat tengah hari ini kepada 447 penduduk daripada 119 keluarga, berbanding 65 penduduk daripada 19 keluarga pagi tadi.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 1 tengah hari, Temerloh, Raub dan Jerantut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, susulan hujan lebat berterusan sejak malam semalam.

Portal berkenaan memaklumkan, 11 mangsa daripada dua keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Belia Paya Luas dan Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Gau di Temerloh.

Di Raub, seramai 28 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Surau Kampung Peruas manakala tiga mangsa daripada tiga keluarga di Balai UMNO Kampung Batu Talam.

Selain itu, seramai 114 mangsa daripada 23 keluarga di Jerantut dipindahkan ke Dewan JKKK Felda Kota Gelanggi Satu, manakala di Maran seramai 76 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di Surau Sungai Jerik dan 44 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Jara.

Sementara itu, empat pusat pemindahan telah dibuka di Rompin yang menempatkan 44 mangsa daripada 12 keluarga di Balai Raya Bukit Lepas, Sekolah Kebangsaan Pontian (12 mangsa, tiga keluarga), Dewan Orang Ramai Bukit Ibam (enam mangsa, dua keluarga), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam (171 mangsa, 48 keluarga).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan sekitar bandar Kuantan ditutup, berikutan pusat bandar sudah mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Anggota keselamatan turut kelihatan mula melakukan persediaan bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, selain melakukan rondaan sekitar daerah ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :