Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Masyarakat diseru manfaat Saringan Komuniti, halang Covid-19 merebak

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 bertujuan untuk menghalang wabak merebak dengan lebih parah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat perlu mengambil peluang tersebut kerana program itu adalah percuma.

“Kerajaan Selangor giat buat saringan di komuniti sebab itu kes semakin meningkat. Misi kita adalah untuk memastikan virus ini tidak menular dan dapat dicegah awal,” katanya menerusi rancangan bual bicara Piknik Keluarga Maya di Facebook semalam.

Menurutnya, orang ramai juga perlu memberi kerjasama kepada petugas kesihatan dengan memanfaatkan program berkenaan di kawasan mereka.

“Yang penting adalah kerjasama, kita perlu bersama memutuskan rantaian wabak ini, jangan panik terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP)” tambahnya.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 sejak 12 April lalu bermula di Hulu Langat. Terdapat dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke kawasan komuniti.


Pengarang :