AGAMAAGENSISELANGOR

PKP: 442 pengantin dinikahkan Jais guna sidang video

SHAH ALAM, 28 JAN: Seramai 442 pasangan pengantin dinikahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi sidang video sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 14 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pelaksanaan akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) itu hanya dilakukan setelah pasangan mendapat kebenaran berkahwin serta temujanji Paid.

“Menerusi kaedah ini, pendaftar perkahwinan yang berada di Paid menyaksikan lafaz ijab dan qabul oleh wali dan pengantin lelaki yang berada di rumah bersama pengantin perempuan dan dua orang saksi.

“Pernikahan secara sidang video ini dilakukan mengambil kira faktor terutama mendahulukan perkara wajib dan rukun nikah, ia juga bagi memastikan keselamatan pihak terlibat dari jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan berkata bermula 25 Januari, pihaknya memperluaskan pelaksanaan akad nikah kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) yang bertugas di semua masjid pengurusan.

“Kesemua PPP dibenarkan untuk melaksanakan pernikahan secara sidang video untuk melancarkan urusan pernikahan pasangan yang bakal berkahwin mulai 4 Februari depan.

“Selaras dengan itu, pada 25 Januari juga, perkhidmatan kaunter secara temujanji juga mula dibuka bagi urusan tertentu di Paid,” katanya.

Mengulas lanjut, untuk permulaan hanya 25 urusan temujanji ditetapkan setiap hari bagi perkhidmatan kaunter yang dibuka dari jam 8 pagi sehingga 1 petang.

“Slot temujanji yang dibuka ini juga diperbanyakkan dari semasa ke semasa mengikut arahan daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan permintaan pelanggan,” katanya.


Pengarang :