Upacara sembahyang sempena Thaipusam tahun ini dibuat di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sambut dalam PKP, Thaipusam perayaan rohani

TIADA lagi perarakan besar-besaran kali ini – paling ramai di dunia. Jauh sekali menyaksikan keunikan kavadi yang menggamit tumpuan tidak kira agama mahupun kaum.

Batu Caves yang menjadi tumpuan setiap kali perayaan Thaipusam – dihadiri 1.5 penganut Hindu setiap tahun – kali ini dijangka lengang. Semuanya kerana penularan Covid-19 yang mengancam keselamatan awam.

Sekalipun pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan masih dibenarkan tetapi kemeriahan sambutan pasti jauh berbeza.

Namun, seperti Ramadan mahupun Aidilfitri, ia tetap disambut seadanya. Upacara ibadat tetap dilakukan. Hanya coraknya berbeza.

Penganut Hindu akan memecahkan sebiji kelapa untuk membersihkan dosa yang lazimnya dijalankan sebelum upacara sembahyang

Mengikut pengerusi Malaysia Hindu Sangam Kajang, upacara sembahyang sempena Thaipusam dibuat di rumah. Hanya sami dan lima ahli jawatankuasa dibenar ke kuil.

“Saya minta semua penganut Hindu untuk sembahyang di rumah tanpa perlu hadir ke mana-mana kuil dan wajib sembahyang mengikut apa disarankan Malaysia Hindu Sangam,” kata Muralitharan Paramasua kepada SelangorKini.

Katanya, upacara membawa kavadi untuk penganut yang bernazar juga boleh ditangguh hingga sambutan pada tahun depan. Namun, mereka perlu berpuasa sama ada tiga hari, tujuh hari atau sebulan dengan hanya makan sayur-sayuran sekali sehari.

Selain bersembahyang di rumah, mereka perlu membaca mantera dan menyanyi lagu kebesaran memuji Dewa Murugan pada hari sambutan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini meluluskan permohonan pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan dari Kuil Jalan Bandar ke Batu Caves bermula jam 3 pagi pada 27 Januari dan kembali ke kuil pada jam 3 pagi keesokannya.

Berarak tanpa muzik

Hanya 10 petugas dibenar terlibat dalam pergerakan tanpa muzik, perhimpunan, pesta atau perarakan selain tidak berhenti di mana-mana tempat. Ia harus dilakukan seberapa ringkas dan cepat. Mereka juga harus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang masa.

Thaipusam disambut pada bulan Thai atau bulan ke-10 berpandu bintang yang dinamakan Poosam mengikut kalendar Hindu.

Walaupun Thaipusam dan Deepavali disambut pada tarikh sama dalam pusingan kalendar itu, namun hari bulannya berbeza mengikut kalendar masihi.

Perarakan membawa arca Dewa Murugan, juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam, turut diadakan dalam sambutan Thaipusam selain sebilangan penganut yang bernazar membawa kavadi yang dicucuk di badan.

Deepavali pula perayaan menandakan kemenangan kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan atau simboliknya cahaya menerangi kegelapan. Ia lebih menekankan semangat hubungan sesama manusia manakala Thaipusam menjurus kepada upacara kerohanian dengan tuhan.

Justeru, Muralitharan mengajak penganut Hindu menghayati maksud sebenar Thaipusam dan menyambutnya dengan penuh hormat walau dalam suasana sederhana.

Thaipusam yang biasanya diiringi muzik dan perarakan dibuat secara ringkas mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara

Malah, beliau menyatakan Thaipusam tidak perlu unsur kemeriahan kerana ia upacara keagamaan bukannya perayaan kebudayaan.

Beliau juga mengingatkan Thaipusam adalah hari untuk penganut Hindu bertawakal bagi membuang pemikiran atau niat jahat dan menyucikan diri dengan mendampingi tuhan.

“Ia bukan satu sambutan kebudayaan tetapi upacara keagamaan. Jadi, tiada kemeriahan dalam upacara keagamaan,” kata beliau lagi.

Adat pecah kelapa

Untuk membersihkan dosa yang lazimnya dijalankan sebelum upacara sembahyang, penganut Hindu disaran melakukannya di rumah, memadai dengan memecahkan sebiji kelapa.

Sekalipun tradisi itu bukan upacara keagamaan – mengikut Muralitharan – ia hanya adat yang membawa simbolik memecahkan ego manusia. Katanya, kulit kelapa yang bersifat keras merujuk ego manusia yang perlu dipecahkan manakala isi kelapa yang putih menggambarkan sifat murni, gambaran seolah-olah tuhan.

“Maksud pecah kelapa ialah seorang manusia yang ingin mendekati atau mengenali tuhan perlu membuang atau pecahkan egonya dan setelah ego dipecahkan, maka tuhan yang berada di dalam diri kita boleh dilihat atau dirasa dengan mudah,” katanya.

Beliau juga menyeru penganut Hindu berdoa supaya pandemik Covid-19 berlalu segera dan kehidupan normal dapat dikembali seterusnya perancangan hidup seluruh manusia lebih sempurna.


Pengarang :