Petugas Selcare menyimpan sampel yang diambil dari orang ramai yang membuat saringan Covid-19 secara percuma di Klinik Selcare Puchong ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 1,086 kes Covid-19, sembilan kematian

SHAH ALAM, 8 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada empat angka dengan 1,086 kes hari ini, dua daripadanya jangkitan import.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu juga merekodkan kes harian tertinggi iaitu 41.1 peratus daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 904 kes atau 83.2 peratus dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan.

“Jumlah kes termasuk 165 daripada kluster baharu iaitu kluster Jalan Klinik, Bukit Belimbing dan Tapak Bina Hevea, 256 saringan kontak rapat dan 114 melalui lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Selangor turut merekodkan sembilan kematian baharu membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita. Kesemuanya adalah warganegara.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melalui Facebook memaklumkan dua kes import di Sabak Bernam melibatkan individu yang pulang dari Netherlands dan Arab Saudi.

Agensi itu berkata seramai 1,026 pesakit pulih menjadikan keseluruhan kes sembuh 31,621 orang manakala angka kematian meningkat kepada 61 kes.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 38,433 kes Covid-19 setakat ini.


Pengarang :