AGENDANASIONAL

Skandal kartel daging: Ejen penghantaran ditahan

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor semalam menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan rasuah, yang berkaitan dengan isu skandal kartel daging.

Difahamkan lelaki berumur 55 tahun yang merupakan ejen penghantaran itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 8 semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan tangkapan, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Lelaki itu dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini bagi permohonan reman.

Pada 1 Dis tahun lepas, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dilaporkan telah mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

– BERNAMA


Pengarang :