AGENSI SELANGOR

STFC lancar inisiatif cegah, kurangkan kluster tempat kerja guna SELangkah

SHAH ALAM, 6 JAN: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan inisiatif Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Ahli STFC, Dr Yap Wei Aun berkata POIS dilengkapi beberapa komponen dan melibatkan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta kerjasama antara majikan, pekerja dan pihak berkuasa.

Jelasnya, melalui komponen Langkah-Langkah Kesihatan Awam Dipertingkatkan, majikan yang mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza.

“Jawatankuasa ini perlu mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Dalam komponen Rejim Ujian Pengesanan Awal pula, jawatankuasa perlu merancang pelaksanaan ujian saringan tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) atau kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk pekerja dan bertindak pantas sekiranya kes positif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pakar sistem kesihatan itu berkata aplikasi SELangkah berperanan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja selain memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.

“SELangkah bertindak sebagai sistem amaran awal yang mengesan kemunculan kluster bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan kejiranan.

“Analisis risiko pula akan membolehkan pandangan diberikan kepada pihak berkuasa dan majikan mengenai cara meneruskan operasi perniagaan dengan gangguan yang minima,” katanya sambil memaklumkan kod imbasan SELangkah akan dipamer di setiap pintu keluar termasuk asrama, ruang kerja dan kawasan umum membabitkan syarikat terbabit.

 


Pengarang :