Selangorkini
Unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan memulakan tugasan bagi membantu operasi ronda mencegah penyeludupan sempadan negara. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Unit berkuda FRU sesuai jaga sempadan negara – polis

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Penempatan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi membantu penugasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis adalah relevan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Ini bukan kali pertama pasukan berkuda ditugaskan di kawasan sempadan itu, malah mereka telah ditempatkan di situ sejak 1995, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata kawasan di sempadan mempunyai pelbagai bentuk muka bumi dan sesuai untuk Unit Berkuda ini digerakkan, terutama di kawasan yang tidak sesuai untuk dilalui kenderaan.

“Peranan Unit Berkuda adalah sebagai elemen sokongan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan memberi fokus kepada langkah-langkah pencegahan penyeludupan di kawasan yang bersesuaian seperti di jalan-jalan keselamatan yang mempunyai kawasan lapang dan perumahan antara sempadan Malaysia-Thailand.

“Posisi anggota Unit Berkuda berada dalam ketinggian kira-kira 10 kaki ketika berada di atas kuda, memudahkan anggota untuk mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan dari kawasan perumahan yang berada di seberang sempadan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, Unit Berkuda ini juga menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti lokasi perniagaan di sekitar Padang Besar, Perlis.

“Penugasan ini bertujuan sebagai elemen ‘Show Off Force’ dan ‘Omni Presence’ bagi menambah kayakinan masyarakat dengan menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Abdul Rahim berkata setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai lebih 50 ekor kuda bagi penugasan di seluruh negara. Unit itu berpangkalan di FRU Cheras.

Unit Berkuda PDRM digerakkan untuk membantu penugasan di kawasan sempadan negara susulan insiden berbalas tembak antara kumpulan penyeludup dengan dua anggota PGA November tahun lepas yang menyebabkan seorang anggota PGA Senoi Praaq maut manakala seorang lagi cedera.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Rahim menafikan dakwaan yang mengatakan anggota PGA Senoi Praaq tidak menerima layanan sama seperti unit lain.

“Tidak timbul isu layanan yang tidak sama kerana PGA mementingkan semangat setia kawan sama ada semasa bertugas mahupun dalam kehidupan seharian. Pucuk pimpinan PDRM sentiasa mengambil berat hal-hal berkaitan kebajikan dan kemajuan kerjaya anggota Senoi Praaq,” katanya.

Abdul Rahim berkata sebahagian besar pasukan Senoi Praaq dianggotai masyarakat Orang Asli, namun terdapat sejumlah kecil pegawai dan anggota dalam batalion itu yang terdiri daripada kaum-kaum lain.

“Pasukan ini memang dikhaskan untuk Orang Asli kerana kemahiran ilmu hutan yang dimiliki golongan ini. Namun, jika seseorang anggota Senoi Praaq itu boleh digerakkan ke mana-mana jabatan (lain dalam PDRM) dengan kelulusan (pendidikannya) maka kita akan buat (pindahkan ke unit atau jabatan lain),” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, pasukan Senoi Praaq mempunyai kekuatan anggota seramai 782 orang di seluruh negara, terdiri daripada 452 orang daripada Batalion 3 PGA di Bidor, Perak dan 330 anggota di Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu, Perak.

– BERNAMA


Pengarang :