Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor: Yakini tahap kualiti air Sungai Klang

SHAH ALAM, 14 FEB: Penduduk di negeri ini tidak perlu meragui tahap kualiti air Sungai Klang untuk dijadikan sebagai sumber bekalan baharu pada masa hadapan.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) air dari sungai berkenaan akan menjalani proses pra-rawatan secara biologikal menggunakan kaedah takungan air pinggiran sungai (Taps).

Jelas agensi itu, air mentah disimpan menggunakan kolam di kawasan hilir dan pinggir sungai yang wujud.

“Segala jenis bahan kotoran terdapat dalam sungai akan termendap di dasar kolam dan kualiti air lebih baik ini akan disalurkan ke loji rawatan air (LRA) untuk dirawat sebelum sampai kepada pengguna,” katanya di Facebook.

Agensi menjelaskan Taps juga sebagai kaedah alternatif mengatasi masalah bekalan air jika pencemaran berlaku dan LRA masih boleh beroperasi dalam tempoh 28 hari.

Sebelum ini, EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata Kerajaan Selangor yakin sasaran menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air mampu direalisasi berikutan tahap kualiti air semakin baik.

Ir Izham Hashim memaklumkan program pembersihan dan pemuliharaan sungai melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) bermula 2016 berjaya mengembalikan ekosistem semula jadi kawasan itu.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

 


Pengarang :