Pegawai penasihat dasar pejabat EXCO Pembangunan Sukan Mohd Hasriq Amiruddin (kanan) bersama ADN Balakong Wong Siew Ki (tengah) selepas meninjau tapak projek infrastruktur sukan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 11 Februari 2021. Foto Facebook MPKj
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Kerja naik taraf fasiliti sukan lima daerah memuaskan

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri sudah meninjau prestasi projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur sukan di lima daerah yang selesai dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kerja tambah baik fasiliti di Klang, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Langat itu berada pada tahap memuaskan.

“Sebanyak 40 projek penyelenggaraan berjaya disempurnakan di seluruh negeri ini melalui peruntukan RM2.24 juta bagi memastikan kemudahan sukan dijaga dengan baik.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah seliaan sama ada pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah menerima dana RM40,000 untuk pelaksanaan kerja berkaitan di kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke tapak projek di Sepang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak pula akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap supaya orang ramai dapat menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan ini sebaik mungkin demi kepentingan bersama,” katanya.

Wakil rakyat Paya Jaras itu turut memaklumkan akan membuat tinjauan ke beberapa lokasi kemudahan sukan yang memerlukan perhatian Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata Selangor tekad memastikan kemudahan dalam keadaan baik seiring matlamat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

Katanya kemudahan sukan di peringkat daerah akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa seiring misi Selangor Negeri Pintar 2025.


Pengarang :