Petugas kesihatan menjalankan ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calitan tidak sakit, penduduk sambut baik saringan percuma Covid-19

SABAK BERNAM, 25 FEB: Penduduk di sini menyambut baik saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri kerana membantu golongan kurang mampu memeriksa tahap kesihatan mereka.

Pesara kerajaan, Mohd Ghaus Abd Manap, 63, berkata bimbang dengan peningkatan kes wabak kebelakangan ini, beliau memberanikan diri menghadiri saringan tersebut.

“Inisiatif yang bagus kerana ujian ini secara percuma berbanding dikenakan bayaran jika buat saringan di klinik. Kita bimbang sebab wabak Covid-19 ini tidak nampak,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Stadium Mini Sungai Besar hari ini.

Pesara kerajaan Mohd Ghaus Abd Manap

Mohd Ghaus yang kali pertama melakukan ujian calitan berkata kegelisahannya selama ini reda selepas mendapati ia tidak menyakitkan.

“Ini pertama kali saya buat saringan. Rasanya tidak sakit dan semuanya ok sebab sebelum ini ramai orang kata sakit,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan pekerja kedai perabot, Alinda Kadir, 35, yang hadir bersama rakannya.

Pekerja kilang perabot Alinda Kadir

Alinda berkata proses pengambilan sampel sedikit memedihkan tetapi tahap kesihatan lebih penting bagi memastikan beliau tidak dijangkiti wabak.

Sementara itu, pekerja kilang beras, Adira Ismail, 30, berkata syarikatnya memutuskan semua kakitangan kira-kira 90 orang menghadiri saringan berperingkat hari ini.

Beliau yang bekerja di kilang beras berkata setakat ini tiada sebarang kes positif direkodkan di tempat kerjanya selain menyambut baik saringan percuma itu.

Pekerja kilang beras Adira Ismail

“Syarikat menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat kepada semua kakitangan termasuk menggunakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Kita juga menekankan aspek keselamatan dengan menjaga jarak fizikal memandangkan ada kakitangan yang bertugas di luar untuk menghantar bekalan beras dan bertemu orang ramai,” katanya.


Pengarang :