Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Saringan kontak rapat punca Petaling masih catat kes harian tertinggi

SHAH ALAM, 6 FEB: Kes positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat menjadi punca Petaling masih merekodkan kes harian tertinggi semalam, iaitu 442 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata sebanyak 212 kes hasil saringan kontak rapat dilaporkan dengan 77 di mukim Petaling, mukim Sungai Buloh (68), Damansara (58) dan mukim Bukit Raja (sembilan).

Menurutnya, Klang pula mencatatkan 234 kes dan mukim Klang paling tinggi dengan 156 kes sementara mukim Kapar 77.

“Hulu Langat pula 199 kes dan majoriti kes berpunca daripada saringan kontak rapat di mukim Kajang menjadikan jumlah keseluruhan dengan 74 kes,” kata JKNS menerusi Facebook.

Jabatan itu turut memaklumkan 152 kes positif Covid-19 berlaku di Gombak diikuti Sepang (121), Kuala Langat (31) dan Hulu Selangor (30).

“Kuala Selangor merekodkan 16 kes dan mukim Ijok tertinggi apabila mencatatkan enam kes menerusi saringan bergejala, kontak rapat dan saringan pekerja.

“Sementara Sabak Bernam dengan tiga kes iaitu mendapat jangkitan daripada luar negara, saringan kontak rapat dan saringan di penjara,” katanya.


Pengarang :