Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gilap potensi, buka peluang anak muda desa

SHAH ALAM, 7 FEB: Projek Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dijangka memberi manfaat kepada seluruh anak muda terutama di luar bandar.

Melalui peruntukan RM34.9 juta dalam Belanjawan Selangor 2021, inisiatif itu dijangka mampu melahirkan atlet masa depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman yakin hasrat itu mampu dicapai menerusi pelbagai usaha pembangunan peringkat akar umbi.

“Kita akan buat program sukan berkonsep jelajah daerah supaya peluang dapat diberi sama rata kepada belia-belia yang berbakat dan berpotensi.

“Kerajaan Negeri akan menarik lebih banyak penglibatan persatuan sukan dan syarikat swasta untuk menyumbang kepada pembangunan sukan,” katanya kepada SelangorKini.

Tidak melupakan kepentingan sukan dalam talian, malah Khairuddin juga merancang untuk memperbanyak kejohanan e-sukan lantaran ia berpotensi melonjak peserta ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, beliau mahu mengemas kini struktur dan fungsi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) supaya keberkesanan program peringkat akar umbi benar-benar dikecapi anak muda.

“Kita juga merancang untuk menubuhkan Institut Generasi Muda yang bertujuan mengkaji dan meneliti keperluan semasa golongan itu.

“Ruang seluas-luasnya akan dibuka kepada persatuan dan badan bukan kerajaan di seluruh negeri untuk memudahkan anak muda menyampaikan pandangan akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, dari sudut pembangunan modal ihsan, program Selangor Bekerja di peringkat daerah akan diteruskan memandangkan lima siri jelajah sebelum ini mendapat sambutan hebat.

Lima siri Jelajah Selangor Bekerja sebelum ini telah berlangsung di Kuala Selangor, Gombak, Paya Jaras, Hulu Langat dan Shah Alam.

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) juga akan diperluas lagi ke kawasan luar bandar bagi memberi peluang sama rata kepada golongan belia di sana.

“Kesinambungan RiDE sedang kita kaji, ini penting supaya kita dapat melahirkan usahawan atau operator e-panggilan dalam kalangan peserta program ini,” katanya.


Pengarang :