Jemaah Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam menunaikan solat Zohor berjemaah dengan mengikut SOP penjarakan fizikal 1.5 meter dan pemakaian pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19 pada 4 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jawi benar solat Jumaat, fardu separuh daripada kapasiti masjid, surau

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat fardu kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid, dewan solat utama, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa esok.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataannya hari ini, berkata aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat juga dibenarkan diadakan selama 30 minit di masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Semua ketetapan ini berkuat kuasa bermula dengan solat Jumaat pada 5 Feb tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Mohd Ajib berkata perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat berjemaah berkenaan adalah bagi semua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perluasan itu adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Mohd Ajib turut mengajak umat Islam untuk berdoa dan bermunajat agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir.

– BERNAMA


Pengarang :