Orang awam membeli keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kedai pakaian, alatan sukan dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula esok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyahkuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis, memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Kedai pakaian pula perlu sediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Mengenai kebenaran makan di kedai makan, Ismail Sabri berkata ia hanya terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter di restoran serta pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan.

Katanya, butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kebenaran bagi kedai barangan dan perkhidmatan fotografi serta penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

Katanya, penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen.


Pengarang :