Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memotong pagar yang menjadi lokasi tempat pembuangan sampah haram sambil diperhati EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han (kiri) di Jalan TK 5/27 Taman Mawar, Puchong pada 8 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lapor lokasi sampah haram, ahli majlis MBSJ diugut

PUCHONG, 8 FEB: Seorang ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah diugut selepas membuat laporan mengenai aktiviti pembuangan sampah haram.

EXCO kerajaan tempatan berkata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ahli majlis dilantik Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan menjaga sesebuah kawasan dan kebajikan penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian ini namun laporan polis sudah dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada pihak berkaitan yang membuang sampah haram di tebing sungai,” kata Ng Sze Han kepada media selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram di Taman Mawar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Sementara itu Ahli Majlis MBSJ, Kenneth Sam berkata kejadian tersebut tidak akan mematahkan semangatnya walaupun baru sahaja dilantik Januari lalu.

Menurutnya, kejadian dua minggu lalu dialami apabila seseorang menghubunginya memberi amaran supaya tidak mengganggu aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, saya turut menerima mesej ugutan. Diharap perkara ini disiasat segera selepas laporan polis dibuat.

“Saya akan pastikan lokasi tersebut dibersihkan selepas ini bagi mengelak pencemaran sungai dan tiada lagi kegiatan pembuangan sampah haram,” katanya.


Pengarang :