EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.
AGENDANASIONAL

Manfaatkan Saringan Komuniti percuma, sasar kadar jangkitan bawah lima peratus

PETALING, 28 FEB: Orang ramai diseru memanfaatkan setiap program Saringan Komuniti bagi mencapai kadar jangkitan Covid-19 bawah paras lima peratus di Selangor.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mengakui bilangan individu menyertai saringan bersasar itu semakin berkurang sejak kebelakangan ini walaupun diberikan secara percuma.

“Kalau dulu, semua tanya di mana lokasi saringan yang akan dianjurkan (tetapi) sekarang mungkin kesan keyakinan masyarakat dengan adanya vaksin.

“Mereka perlu tahu bahawa untuk permulaan, vaksin diberikan kepada petugas hadapan seterusnya warga emas sebelum sampai kepada orang awam dijangka dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata jika masyarakat mula mengambil sikap mudah terhadap kepentingan pencegahan wabak itu ia boleh menyebabkan kes Covid-19 kembali melonjak.

Sebanyak 337 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil daripada 500 yang disasarkan pada program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Wakil rakyat Seri Serdang menambah pihaknya akan terus memperhebatkan hebahan dari masa ke masa melalui pelbagai saluran bagi meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap program berkenaan.

“Kita mengatur program ini di empat tempat pada setiap hujung minggu. Program akan diteruskan di Seri Kembangan dan Kota Damansara minggu depan selain merancang diadakan di Hulu Langat,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan menumpukan warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Setakat ini, program dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Selain itu, Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang; Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MBPJ Taman Dato’ Harun.


Pengarang :