AGENDA NASIONAL

Mara nafi dakwaan MRSM Sungai Besar gagal kawal penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan kononnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mengawal penularan wabak Covid-19.

Menurut agensi itu, tindakan segera telah diambil dengan mewujudkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf sejak hari pertama Covid-19 dikesan, bagi menjalankan kerja sanitasi setiap hari dengan nasihat dan pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Sanitasi keseluruhan bangunan maktab dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Jan. Seorang daripada pelajar yang bergejala ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Pelajar berkenaan tidak kritikal, hanya mengalami gejala batuk.

“Mara sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 di kalangan pelajar,” demikian menurut agensi itu dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesej WhatsApp mendakwa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah melibatkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Menurut kenyataan itu, pelajar yang bergejala diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok berbeza serta menggunakan tandas yang berlainan sejak 24 Jan lalu.

Mara turut menafikan isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan, sebaliknya pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan yang dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera di samping makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan oleh pelajar.

Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan di samping menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada warden dan guru bertugas.

Menurut kenyataan itu, Mara sentiasa berhubung rapat dengan Pusat Kesihatan Daerah sejak gejala dikesan dalam kalangan pelajar.

Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka.

– BERNAMA


Pengarang :