Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB galak rakyat jalani Saringan Komuniti bersiri mulai hari ini

SHAH ALAM, 17 FEB: Rakyat Selangor digalakkan menjalani Saringan Komuniti bersiri secara percuma mulai hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian itu diadakan di beberapa penempatan seluruh negeri dalam usaha menurunkan kadar jangkitan Covid-19.

“Siri saringan ini bermula di kawasan berkepadatan tinggi seperti Shah Alam dan Klang. Warga Selangor yang tinggal berhampiran digalak untuk hadir.

“Sila ikuti perkembangan terkini menerusi media sosial saya untuk mengetahui siri saringan seterusnya di penempatan lain,” katanya di Facebook.

Program berkenaan dijalankan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 dari jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

Ujian itu akan diteruskan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang esok pada waktu sama.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes.


Pengarang :