Foto Facebook Talian Kasih 15999
AGENDANASIONAL

Panggilan ke Talian Kasih melonjak kepada 153,024 tahun lalu

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jumlah panggilan ke Talian Kasih 15999 melonjak secara mendadak tahun lalu iaitu 153,024 berbanding 25,868 panggilan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu berlaku ekoran perluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi whatsApp.

Menurut kenyataan itu peningkatan itu juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan yang dominan untuk mendengar keluh-kesah rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Talian bebas tol itu diwujudkan pada 2015 bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian, antaranya, penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang.

“Sistem perkhidmatan Talian Kasih 15999 sedang ditambah baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Orang ramai diseru memanfaatkan talian itu dalam usaha mewujudkan masyarakat cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :