AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Peniaga miliki lesen PBT layak mohon pinjaman asas NaDI

SHAH ALAM, 10 FEB: Individu mempunyai lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) layak memohon Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) bagi membantu ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata skim terbabit tidak menghadkan sebarang jenis perniagaan namun wajib mempunyai permit sah selain pemohon berusia antara antara 18 hingga 60 tahun dan bermastautin di negeri ini.

“Langkah ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri membantu rakyat. Mereka yang mahu memohon boleh layari http://www.hijrahselangor.com atau pergi ke cawangan Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor) berhampiran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika melancarkan NaDI dan Skim Pembiayaan Go Digital menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, program skim bertujuan membantu mereka yang berhasrat atau baru memulakan perniagaan dengan tawaran pembiayaan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan NaDI dengan jumlah peruntukan awalan RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Kerajaan Negeri menyasarkan 3,000 penerima melaluinya untuk terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada PBT seluruh negeri ini.

 


Pengarang :