Selangorkini
Orang ramai hadir menjalani Saringan Komuniti percuma secara bersasar di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti percuma di Shah Alam, Pelabuhan Klang esok

SHAH ALAM, 26 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diteruskan esok di Seksyen 28, Shah Alam dan Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan percuma dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu dijalankan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28 dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang Pendamar Indah 2.

“Untuk di Shah Alam, kita galakkan penduduk sekitar Taman Alam Megah, Seksyen 27 dan Seksyen 28 hadir manakala warga Taman Pendamar Indah, Bandar Puteri dan Bandar Botanik ke saringan di Pelabuhan Klang.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui http://screening.selangkah.my atau aplikasi SELangkah bagi memastikan proses ujian berjalan lancar,” kata Amirudin di Facebook hari ini.

Amirudin sebelum ini memaklumkan saringan akan diteruskan lebih banyak dengan jangkaan melibatkan 50,000 serta mengutamakan kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.


Pengarang :