AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sekolah kendalian Jais laksana kaedah dalam, luar talian untuk PdPR

SHAH ALAM, 8 FEB: Semua sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menerusi kaedah dalam dan luar talian.

Pengarahnya berkata kedua-dua pendekatan itu menggunakan bahan pembelajaran merujuk sukatan dan buku teks atau e-buku disediakan WordPress serta waktu mengikut jadual Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Bagi dalam talian pelajar akan menggunakan aplikasi seperti Telegram, WhatsApp, Google Classroom, Google Meet atau Zoom manakala luar talian disediakan kaedah dropbox dengan guru memberi nota untuk mereka cetak dan buat latihan,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jais akan menambah baik sistem diguna pakai dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan pihak nazir yang dibuat kepada guru dan murid.

Sebanyak 618 sekolah di bawah Jais meliputi prasekolah, Kelas al-Quran dan Fardu Ain, Sekolah Rendah Agama, Sekolah Agama Menengah dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor.

Ketika ini, semua pelajar menjalani PdPR berikutan sekolah ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu bagi mengekang penularan kes Covid-19.


Pengarang :