BATU CAVES, 21 FEB: Sejumlah RM850,000 diperuntuk untuk menaik taraf kemudahan lif dan pagar Pangsapuri Kenanga di Gombak Permai di sini.
Dato’ Menteri Besar berkata projek diselenggara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dijangka siap penghujung Mei ini.
“Semua projek pembangunan berjalan mengikut jadual walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Kerajaan Negeri sentiasa meneliti masalah rakyat dan berusaha menyalurkan bantuan mengikut keperluan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui pada program Ziarah Kasih sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad hari ini.
Sebelum itu, Amirudin turut menziarahi penduduk yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 selain meninjau mercu tanda Sungai Tua dan kebun komuniti.