Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki pada sidang media selepas majlis perasmian Kompleks SPRM Terengganu di Bukit Besar Kuala Terengganu pada 1 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPRM beri jaminan siasatan kes rasuah secara telus – Azam

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan setiap siasatan terhadap kes rasuah dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata setiap tindakan dilakukan agensi itu adalah jelas dan tidak berkompromi selain meminta semua pihak bersabar agar siasatan dapat dilakukan secara terperinci untuk hasil yang lebih baik.

Beliau juga meminta semua pihak tidak memberikan persepsi negatif terhadap kes yang sedang disiasat selain memberi ruang dan masa kepada SPRM terutama ketika negara sedang menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19.

“(Misalnya) Kes keputusan mahkamah semalam (pada Rabu) merupakan proses yang terpaksa dilalui (selain) menghadapi cakap-cakap negatif orang ramai yang menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

“Seolah-olah SPRM tidak menjalankan tugasnya tapi kami memohon supaya semua pihak bersabar sebab (terdapat) kekangan yang kami hadapi (semasa menjalankan siasatan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Azam berkata tiada sesiapa yang boleh menyekat setiap tindakan SPRM dan hanya masa yang ‘sedikit menjejaskan’ mereka dalam menentukan cepat atau lambat sesuatu siasatan dijalankan.

“Tapi yang saya mohon ialah kesabaran dan saya beri jaminan bahawa tindakan kami akan sentiasa berterusan sepertimana sebelum ini,” katanya.

Pada Rabu, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Sementara, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc ditahan SPRM pada Rabu dan akan didakwa hari ini atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.

– BERNAMA


Pengarang :