AGENDAEKONOMINASIONAL

UMW Group catat jualan positif pada Januari 2021

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Jualan automotif UMW Holdings Bhd memulakan 2021 dengan rekod yang baik pada Januari, sama ada oleh subsidiari, UMW Toyota Motor (UMWT) atau syarikat bersekutunya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Konglomerat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata UMWT menjual 3,845 unit pada bulan berkenaan, naik 4.1 peratus daripada 3,692 unit yang terjual dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Sementara itu, Perodua, yang mana UMW Holdings adalah pemegang saham tunggal terbesar, mencatatkan jualan sebanyak 16,894 unit pada bulan yang ditinjau. Tiada angka perbandingan diberikan dalam kenyataan tersebut.

“Permintaan yang berterusan ini adalah disebabkan oleh insentif pengecualian cukai jualan, yang kini dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021,” kata UMW Holdings.

Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT pada bulan itu.

“Model Vios dan Yaris yang dinaik taraf telah dilancarkan pada 17 Dis lepas. Bagi meningkatkan lagi penawaran produknya untuk tahun ini, UMWT telah memperkenalkan Toyota Fortuner dan Innova yang dikemas kini pada 2 Feb lalu,” katanya.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai syarikat bersekutunya, Perodua, berkata ia menyasarkan untuk menjual 240,000 unit tahun ini, peningkatan sembilan peratus berbanding 220,163 unit yang dijual pada 2020.

“Perodua juga merancang untuk meningkatkan stoknya dengan menyasarkan pertambahan pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini, yang tertinggi dalam sejarah dan dalam proses itu, akan membeli komponen sumber tempatan bernilai RM6.5 bilion pada 2021 yang akan memberi keuntungan kepada industri automotif domestik,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata kedua-dua UMWT dan Perodua akan terus memberi tumpuan untuk memperkenalkan model baharu dan yang dinaik taraf termasuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang unggul bagi memenuhi kehendak dan harapan pelanggan dalam usaha mencapai sasaran kumpulan pada 2021.

“Melangkah ke hadapan, Persatuan Automotif Malaysia meramalkan jualan keseluruhan industri akan berkembang hampir lapan peratus kepada 570,000 unit pada tahun ini, disokong oleh unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 6.5 dan 7.5 peratus pada 2021 dan pacuan berterusan daripada kerajaan,” katanya lagi.

– BERNAMA


Pengarang :