AGENDANASIONAL

Abim saran masukkan elemen mesra alam sekitar kriteria sijil halal

SHAH ALAM, 18 MAC: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan Jabatan Agama Islam dan badan bertauliah seluruh dunia memasukkan elemen mesra alam sekitar sebagai kriteria mendapatkan sijil halal.

Presidennya berkata tindakan itu bertujuan memperluas makna halal dan baik bagi mewujudkan masyarakat peka memelihara kelestarian serta masa depan bumi.

“Inisiatif ini dapat menjamin kelestarian sumber makanan halal apabila bumi dan hasilnya dipelihara sebaiknya dan tidak dimusnahkan dengan aktiviti tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, ia juga menjadi asas permulaan mendidik masyarakat khususnya Muslim memandang serius perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar terutama dalam bidang kepenggunaan,” kata Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan.

Beliau berkata Malaysia sebagai pusat hub halal dunia boleh menjadi perintis penting membawa piawaian itu bersama semangat menjaga alam sekitar.

Katanya cadangan itu selari Prinsip ke-17 Matlamat Pembangunan Mapan bagi menggalakkan kerjasama membangunkan industri yang menyokong usaha pembangunan lestari dan pemeliharaan bumi.


Pengarang :