AGENDANASIONAL

Bank Pembangunan biayai bersama projek loji jana kuasa di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memeterai perjanjian dengan Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd (PIPP) untuk membiayai bersama pembangunan projek loji jana kuasa gabungan tenaga turbin dan gas kitaran 1,200-megawatt bernilai RM3.3 bilion, di Pulau Indah, Selangor.

Dalam kenyataan pada Isnin, BPMB menjelaskan pembiayaan untuk loji jana kuasa itu akan disediakan oleh tiga institusi kewangan, iaitu BPMB, Maybank Islamic Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, melalui Kemudahan Pembiayaan Berjangka-i Komoditi Murabahah Baharu bernilai RM2.7 bilion.

Projek loji jana kuasa itu terletak di kawasan tebus guna seluas 24.28 hektar di Mukim Klang, Selangor, berdekatan dengan Zon Bebas Pelabuhan Klang.

“Kawasan tersebut boleh diakses melalui Lebuhraya Pulau Indah, Persiaran Masjid Sultan dan Jalan Sidang Adnan, selain terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Klang,” menurutnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata sebagai institusi kewangan pembangunan, peranan BPMB dalam pembangunan negara dan sokongan berterusan kepada agenda kerajaan akan ditekankan melalui projek itu.

“Kami gembira dapat memeterai perjanjian ini dengan PIPP untuk membiayai sebahagian projek loji jana kuasa di Pulau Indah itu kerana ia mempunyai manfaat ekonomi, alam sekitar dan sosial yang besar,” katanya.

PIPP, yang 75 peratus kepentingannya dimiliki Worldwide Holdings dan 25 peratus lagi oleh Korea Electric Power Corp, menerima surat anugerah dari Suruhanjaya Tenaga pada 10 September 2019 untuk melaksanakan projek tersebut.

BPMB dimiliki penuh oleh kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan).

– BERNAMA


Pengarang :